Thursday, March 19, 2015

Batok di Tangga

Assalamualaikum.

Celaka. Aku ingatkan penulisan kali ini akan istiqamah, rupa-rupanya serupa dengan blog-blog sebelumnya yang dimamah anai-anai.

Post Genre : Sports bahagian 2 akan aku lunaskan suatu masa nanti, bila takdir mengizinkan.

Aku paling suka berbicara hal mimpi. Bukanlah bermaksud mimpi ketika tidur, tetapi perihal angan-angan dan impian. Kerana seringkali mimpi itu dijadikan asbab kepada harapan, serta membawa kepada usaha yang gigih demi mencapai apa yang diharapkan.

Entah sejak bila aku menjadi taksub terhadap hal ini. Puncanya, nah, sebuah kitab karangan Andrea Hirata, Sang Pemimpi. Tajuknya sahaja membuatkan jiwa teruja. Keletah tiga anak kampung, Ikal, Arai dan Jimbron yang berasal dari sebuah pulau yang ingin sekali melanjutkan pelajaran ke Paris tidak pernah membosankan aku. Kawan, seandainya engkau sedang mencari maksud hidup, bacalah kitab ini.

Aku hanyalah manusia biasa yang membesar secara biasa. Seandainya biasa itu mampu aku definisikan, ia bermaksud 'normal bagi masyarakat setempat'. Tapi kawan, kita tidak akan pernah tahu apa yang diaturkan oleh-Nya pada diri ini!

Kawan, kalau kau bersedia membaca, teruskan.

Seorang anak gadis pintar bercita-cita untuk menjadi pakar perubatan sehinggalah usianya menjejak 15 tahun kerana merasa bertanggungjawab terhadap abangnya yang kurang upaya. Takdir Tuhan, abangnya itu pergi menemui Ilahi.

Anak gadis itu dijaga rapi oleh ibu ayahnya, dan sehingga tiba surat tawaran ke sekolah berasrama penuh di Klang, dia terkejut apabila dibenarkan untuk berhijrah ke sebuah negeri yang asing baginya. Bukan dia tidak tahu perangai ayahnya, risau ibunya.

Di sekolah baru, ditakdirkan Tuhan, dia bertemu dengan manusia-manusia gila iaitu dua orang temannya yang mendorongnya untuk bermimpi. Mereka memasakkan impian setinggi langit dan menentang sekeras-kerasnya pembebalan manusia untuk terus hidup di bawah telunjuk 'norma masyarakat'.

Dan sehingga hari ini, mereka terus bermimpi dan berusaha mengerah seluruh tenaga bagi menjadikan apa yang dicita-citakan suatu realiti meski tersadung dan terhumban dalam selut kebodohan.

Mereka bangkit, jatuh, dan bangkit lagi, dengan keyakinan bahawa Tuhan sedang memandang.

Sehingga hari ini juga, anak gadis itu menganggap itulah aturan Tuhan yang tercantik dalam hidupnya.

Kawan, sepanjang hidupmu, telahkah engkau hitung corak hidup yang telah disusun rapi oleh Tuhan?

Bukanlah aku seorang yang alim, jauh sekali zuhud, tetapi apa yang aku tahu, hidup tanpa tujuan adalah seperti mati sebelum mati.

Apa yang aku tahu, segala yang berlaku itu bersebab.

Apa yang aku tahu, aku harus bersyukur atas segala ketentuan.

Apa yang aku tahu, hidup ini tidak selamanya.

Jadi cari! Carilah dirimu, cinta, dan cita-citamu!

Bersungguh-sungguhlah dan berjuanglah seluruh hidupmu!

Kata Pak Hamka, kalau hidup sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja. Lantas apa bezanya kau dengan binatang jengkel itu?

Apa yang kau mahu dalam hidupmu

yang

akan kaubawa dalam kehidupan keduamu?

Selepas ini aku akan menghadapi peperiksaan akhir IB yang bakal menentukan hala tuju aku, setelah dua tahun berhempas pulas. Sehingga saat ini aku hanya mampu mencemburui Zahariz, Anita Yusof dan Hadi Hussein. Dari sedasar-dasar hati ini aku ingin segera maju seperti mereka, berkelana dan berjuang demi makna hidup yang hakiki.

Mungkin kau tidak akan faham. Kerana aku juga tidak memahami engkau. Semoga Tuhan menentukan yang baik-baik sahaja, untuk kau dan juga aku.

No comments:

Post a Comment