Thursday, March 19, 2015

Batok di Tangga

Assalamualaikum.

Celaka. Aku ingatkan penulisan kali ini akan istiqamah, rupa-rupanya serupa dengan blog-blog sebelumnya yang dimamah anai-anai.

Post Genre : Sports bahagian 2 akan aku lunaskan suatu masa nanti, bila takdir mengizinkan.

Aku paling suka berbicara hal mimpi. Bukanlah bermaksud mimpi ketika tidur, tetapi perihal angan-angan dan impian. Kerana seringkali mimpi itu dijadikan asbab kepada harapan, serta membawa kepada usaha yang gigih demi mencapai apa yang diharapkan.

Entah sejak bila aku menjadi taksub terhadap hal ini. Puncanya, nah, sebuah kitab karangan Andrea Hirata, Sang Pemimpi. Tajuknya sahaja membuatkan jiwa teruja. Keletah tiga anak kampung, Ikal, Arai dan Jimbron yang berasal dari sebuah pulau yang ingin sekali melanjutkan pelajaran ke Paris tidak pernah membosankan aku. Kawan, seandainya engkau sedang mencari maksud hidup, bacalah kitab ini.

Aku hanyalah manusia biasa yang membesar secara biasa. Seandainya biasa itu mampu aku definisikan, ia bermaksud 'normal bagi masyarakat setempat'. Tapi kawan, kita tidak akan pernah tahu apa yang diaturkan oleh-Nya pada diri ini!

Kawan, kalau kau bersedia membaca, teruskan.

Seorang anak gadis pintar bercita-cita untuk menjadi pakar perubatan sehinggalah usianya menjejak 15 tahun kerana merasa bertanggungjawab terhadap abangnya yang kurang upaya. Takdir Tuhan, abangnya itu pergi menemui Ilahi.

Anak gadis itu dijaga rapi oleh ibu ayahnya, dan sehingga tiba surat tawaran ke sekolah berasrama penuh di Klang, dia terkejut apabila dibenarkan untuk berhijrah ke sebuah negeri yang asing baginya. Bukan dia tidak tahu perangai ayahnya, risau ibunya.

Di sekolah baru, ditakdirkan Tuhan, dia bertemu dengan manusia-manusia gila iaitu dua orang temannya yang mendorongnya untuk bermimpi. Mereka memasakkan impian setinggi langit dan menentang sekeras-kerasnya pembebalan manusia untuk terus hidup di bawah telunjuk 'norma masyarakat'.

Dan sehingga hari ini, mereka terus bermimpi dan berusaha mengerah seluruh tenaga bagi menjadikan apa yang dicita-citakan suatu realiti meski tersadung dan terhumban dalam selut kebodohan.

Mereka bangkit, jatuh, dan bangkit lagi, dengan keyakinan bahawa Tuhan sedang memandang.

Sehingga hari ini juga, anak gadis itu menganggap itulah aturan Tuhan yang tercantik dalam hidupnya.

Kawan, sepanjang hidupmu, telahkah engkau hitung corak hidup yang telah disusun rapi oleh Tuhan?

Bukanlah aku seorang yang alim, jauh sekali zuhud, tetapi apa yang aku tahu, hidup tanpa tujuan adalah seperti mati sebelum mati.

Apa yang aku tahu, segala yang berlaku itu bersebab.

Apa yang aku tahu, aku harus bersyukur atas segala ketentuan.

Apa yang aku tahu, hidup ini tidak selamanya.

Jadi cari! Carilah dirimu, cinta, dan cita-citamu!

Bersungguh-sungguhlah dan berjuanglah seluruh hidupmu!

Kata Pak Hamka, kalau hidup sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja. Lantas apa bezanya kau dengan binatang jengkel itu?

Apa yang kau mahu dalam hidupmu

yang

akan kaubawa dalam kehidupan keduamu?

Selepas ini aku akan menghadapi peperiksaan akhir IB yang bakal menentukan hala tuju aku, setelah dua tahun berhempas pulas. Sehingga saat ini aku hanya mampu mencemburui Zahariz, Anita Yusof dan Hadi Hussein. Dari sedasar-dasar hati ini aku ingin segera maju seperti mereka, berkelana dan berjuang demi makna hidup yang hakiki.

Mungkin kau tidak akan faham. Kerana aku juga tidak memahami engkau. Semoga Tuhan menentukan yang baik-baik sahaja, untuk kau dan juga aku.

Sunday, December 28, 2014

Genre : Sports I

Cuti ini aku menghabiskan banyak masa untuk menonton anime dan membaca manga. Rata-rata bahan yang aku baca dan tonton adalah bergenrekan sukan.

Aku tak pasti sejak bila aku mula meminati genre ini. Antara tingkatan 3 ke tingkatan 4, dan bacaan pertama aku yang bergenrekan sukan pada waktu itu ialah Eyeshield 21, dan aku membacanya hasil hasutan rakanku ketika itu.


...dan aku akhirnya menghabiskan masa untuk membaca keseluruhan manga dengan perasaan berdebar-debar dan excited.

Bukan niatku di sini hendak mengulas panjang tentang cerita pemain-pemain American Football ini (yang boleh anda baca di mana-mana laman web manga online), tetapi bagi aku rata-rata plot manga bergenrekan sports adalah klise.

Kuroko no Basuke, Haikyuu!!, Area no Kishi dan Yowamushi Pedal adalah antara beberapa yang telah/sedang aku ikuti. Dari bola keranjang, bola tampar, bola sepak serta lumba basikal, kebanyakan plot mereka hampir sama.

Protagonis tak berguna, seseorang menemui bakat sang protagonis, sang protagonis tampak menyerlah dengan memenangi beberapa perlawanan, protagonis kalah dengan sang antagonis yang mempunyai pasukan yang kuat, protagonis bangkit kembali dengan berlatih bersungguh-sungguh sehingga akhirnya dia berjaya memenangi tempat pertama dalam pertandingan yang disertainya. Di samping itu juga protagonis kebiasaannya berjaya merubah sikap sesetengah antagonis yang angkuh.

Klise bukan? ...dan begitu berkait sekali dengan kehidupan kita seharian.

Setiap daripada kita mempunyai potensi masing-masing. Sesetengah kita seringkali menganggap diri sendiri adalah seorang loser. Contohnya Onoda dalam Yowamushi Pedal, dia menganggap dirinya tidak berguna dan tidak mengetahui tentang hakikatnya handal berbasikal melainkan setelah Imaizumi menyedari kehebatannya itu. 


Meskipun watak utama selalunya sedikit berkeyakinan dengan beberapa kejayaan awalnya, namun kehidupan tidak sering berlaku seperti apa yang kita mahukan. 

Dalam hidup ini, bayangkan apabila anda sering mendapat nombor 1 semenjak darjah satu hingga tingkatan 3, dan akhirnya anda mengetahui bahawa tidak pernah sekalipun anda mendapat hatta A- dalam Matematik Tambahan sepanjang tingkatan 4 dan tingkatan 5. Memalukan.

Ataupun setelah anda mendapat straight A dalam SPM, akhirnya setelah anda memasuki program International Baccalaureate, keputusan anda jatuh menjunam berbanding rakan-rakan lain.

Ranap. Ranap habis segala ego.

"Oh Tuhan, aku tidak sanggup lagi."

Tiba suatu tahap kita mula mempersoalkan impian-impian kita. Apakah benar-benar aku mahu? Apa aku layak? Sanggupkah mengorbankan diri?

"Seandainya aku memperlihatkan kepadamu kebolehanku untuk terbang, aku tertanya-tanya adakah mampu untukku meneruskannya?"

Sanggupkah aku meneruskan kepayahan ini?

...demikian lirik Eyeshield 21 OP #2.

Nah, pilih.

Tapi seperti kata Midorima Shintarou, seorang pemain bola keranjang dari pasukan Shutoku,

"Tidak ada yang memalukan seandainya jatuh. Apa yang memalukan ialah tidak bangkit kembali." 

Midorima yang terkenal kerana perwatakannya yang angkuh tetap tidak pernah terlintas untuk berputus asa ketika melawan Rakuzan yang terkenal sebagai johan kebangsaan Inter-High di Jepun ketika itu.


Dengan bangkit, apakah bangkit itu sekadar bermain di mulut sahaja, ataupun segenap kudrat yang ada pada badan kita bergerak dalam merealisasikan hal itu? 

___

Kami bersamamu Indonesia. 
Pray for QZ8501.

Wednesday, December 24, 2014

Mampuslah Sapa Nak Angkat?! II



Ingatkah kalian kisah botol air nan separuh?

Ya, bekalan air untuk 2 jam naik turun ke puncak Irau dari Anak Irau. Dikongsi berdua.

Satu perkara yang aku dapat, kerana keterdesakan dan keinginan untuk terus hidup, aku terpaksa menahan nafsu aku daripada meneguk air mineral sedikit itu dengan rakus.

Sedikit demi sedikit.

Dalam hidup ini, kata orang, lebih baik ibadah yang berterusan nan sedikit, daripada ibadah yang banyak tapi tidak konsisten. Begitu juga hidup.

Keupayaan untuk melawan nafsu itu hanya timbul apabila kita dalam keadaan terdesak. Jadi mengapa tidak kita merasa terdesak apabila sesungguhnya setiap detik Tuhan memerhatikan kita?

Mungkin aku tidak sepatutnya menjangkakan yang tinggi-tinggi terhadap sikap manusia. Manusia kan mengecewakan. Tuhan saja tidak.

Pulang ke Anak Irau, aku mengalami kekejangan apabila duduk. Hari beranjak malam. Teringat perbualan dengan abang-abang hikers tadi petang.

"Kau orang tidur sini malam ni? Bawak sleeping bag tak?"

"Tak."

"Tawakkal betul la ni eh? Haha. Good luck."

Sesungguhnya kami telah memandang rendah cuaca gunung. Sesungguhnya suhu di Anak Irau pada waktu malam boleh menjangkau 10 darjah selsius. Sesungguhnya aku telah menggigil kesejukan. Dan kami juga mendengar bunyi angin yang mengilukan yang membingit ditambah lagi bunyi-bunyian derapan aneh sepanjang malam di belakang khemah kami yang kosong.

Cilakak. Jangan kacau aku la hantu.

Dan mulut mula terkumat kamit membaca apa jua zikir yang diingat.

Setiap sejam jarak masa aku akan terjaga, tidak tahan dengan suhu. Kejadah sungguh tak bawak selimut. Menunggu jam 5 pagi adalah saat-saat menggetirkan bagi kami. Bunsen burner dinyalakan untuk menghangatkan diri.

Dan pagi itu..


Aku melihat matahari terbit dari ufuk timur. Apa lagi yang mampu aku tutur selain maha suci Allah?

Turun dari gunung, kaki aku kekejangan dua kali ganda daripada semalam. Ditambah lagi tanggungan yang perlu kami bawa turun iaitu Bunsen burner, khemah dan berbotol-botol botol bekalan kami.

Aku sedikit kecewa dengan sikap sesetengah manusia yang membuang sampah di merata-rata kawasan gunung dan juga tempat-tempat awam yang lain. Aku sangka pemikiran kita terlalu maju untuk itu. Tapi yang berlaku membuktikan pembangunan ketamadunan kita masih tidak seimbang. 

Mungkin mereka sakit perut dan terdesak untuk turun cepat sehingga terlupa botol air kosong yang tertinggal.

Mungkin.

Syukur, pendakian kedua aku berjalan lancar. Aku harap aku tidak akan pernah bosan dengan ini.

Kerana ini adalah salah satu fasa pencarianku. Aku sedang mencari. Mencari erti diri. Kata kawan aku, sesiapa yang mengenal dirinya maka dia mengenal Tuhan. Aku tidak pula pasti apakah ianya hadis ataupun kata-kata pujangga.

Dan aku ingin sekali mengenal Tuhan.

Enam bulan berlalu, aku kian menjejak ke semester akhir.

Dan masih - meski aku hina dina dan seringkali menzalimi diri, aku masih belum mahu berhenti mencari Engkau wahai Allah.

Izinkan aku untuk terus berjuang.


KABUS

Dinginnya menggerunkan
Hadapanmu itu apa?

Kaburnya menakutkan
Hadapanmu itu apa?

Nafas ditarik sedalam sukma
Lapang, lapanglah duhai jiwa

Biar sejuk mengasak dadamu
Biar bayu menampar jasadmu

Kau berpegang pada ketidakpastian
Menapak maju, bukan bodoh
Kau pasakkan setinggi kesaksian
Menapak maju, yakin Tuhan

Nafas ditarik sedalam sukma
Lapang, lapanglah duhai jiwa

___

"Kalau sini pun dah cantik macam ni aku tak tahu syurga macam mana."
-Umar Ghazi, Pasport Ekspres

Mampuslah Sapa Nak Angkat?! I

Beberapa bulan lepas aku pergi panjat gunung.
Ya, gunung.
Tak heran kan?

Gara-gara kawan lama aku yang nak pergi ke tempat sama yang pernah didaki Rewan Ishak, maka aku pun mula merancang perjalanan yang disertai tiga lagi teman aku (peliknya kawan lama yang mencadangkan tu tak ikut pun).

Gunung Irau ialah pengalaman hiking kedua aku setelah Bukit Besar, Kuala Terengganu. Sedih sedikit di situ.

Pendeknya, perjalanan dirancang pada saat akhir, dan banyak masalah berlaku. Kata orang, kalau nak kenal kawan-kawan, lihatlah apabila kita mengembara dengannya. Aku syukur kerana Tuhan anugerahkan aku kawan-kawan yang bertimbang rasa dan sanggup menempuh kecacatan perjalanan bersama-sama.

Malam itu kami bermalam di Tapak Perkhemahan Sungai Pauh yang hanya perlu dibayar RM3. Murah kalau hendak dibandingkan hotel-hotel di Tanah Rata mahupun Brinchang.

Bayangkan perasaan kami yang merasa sakai apabila melihat hiker-hiker lain dari UiTM dan sebagainya yang datang penuh persediaan, naik 4WD bersama renjer, berkereta sendiri dan sebagainya. Kami ke kaki gunung dengan menaiki teksi.

Kami bertanya seorang ak cik renjer berbaju 'Strawberry Park' mengenai gunung itu, dan nyata beliau terkejut mendapati kami naik tanpa pemandu arah. Lagi-lagi di hadapannya berdiri empat budak hingusan.


Perjalanan Irau mencabar kerana tanahnya yang berlumpur. Sangat berlumpur dan kami perlu memijak akar-akar kayu agar kaki tidak terbenam. Jakun, kerap kali aku menghembuskan nafas sekuat hati supaya asap sejuk keluar dari hidung. Lagaknya naga. Kawan-kawanku tampak jengkel dengan perlakuanku.


Tiba di Anak Irau, dua sahabatku berhenti, dan kami bertemu beberapa abang hikers yang sedang berehat sebelum meneruskan perjalanan turun dari gunung. Mereka memulakan perbualan sehingga tiba topik ini.

"Tak naik Irau ke? Cantik woo. Orang kata baik tak yah naik kalau tak naik puncak betul-betul,"

Ah..

"Macam LOTR, nanti boleh masuk macam gua gitu"

Cilakak.

Abang-abang itu terus menggoda dengan kata-kata yang manis. Setelah mereka turun kami terus mendirikan khemah di kawasan Anak Irau.

Aku yang tidak tahan godaan - meminta jasa dan kebaikan seorang temanku untuk meneruskan perjalanan ke puncak Irau. Kami berdua. Air separuh botol.

Dengan bertawakkal pada Tuhan, kami meneruskan perjalanan. Dan kaki aku cramp banyak kali.

Mengingatkan fizikal aku yang kerdil lagi tak cukup stamina, aku risau aku pengsan di tengah hutan. Tapi - mampuslah sapa nak angkat?! Hari dah cukup petang. Dalam keadaan terdesak tu, ketika mana aku tiada pilihan lain selain terus bertawakkal pada Allah, membuka mataku luas-luas dan menyimpan sebanyak mana tenaga yang boleh. 

Di situ aku mengerti erti keterdesakan yang membuatkan manusia berusaha sehabis daya hanya untuk survive. Tiada masa untuk menyerah kerana kami perlu sampai ke Anak Irau sebelum Maghrib tiba. Tiada masa. Tiada bantuan.

Kecuali Allah. Allah yang selalu diseru ketika kepayahan. Allah yang selalu dilupa ketika senang.

"Dah nak sampai!" ulang kawanku yang berstamina tinggi seorang ni.

Tapi tak juga sampai-sampai. Rasa hendak ditampar tapi tak sampai hati dan aku pun terlalu penat untuk itu.

"Mana?!"

Diam.

"Dah sampai!"

Allah. Puncak tertinggi Cameron Highlands. 2110 meter atas paras laut. 


Aku hirup sedalam-dalam udara di situ sebelum memasuki Semester 3 di kolej. Semester paling neraka.

___

Doa dari jauh ku kirimkan pada para saudara yang ditimpa bencana banjir di seluruh Malaysia.

"And it was said, "O earth, swallow your water, and O sky, withhold (your rain)." [Hud:44] 

A Heart is A Heavy Burden

"A heart is a heavy burden."
-Sophie, Howl's Moving Castle.

Begitulah seperti yang disampaikan oleh Miyazaki-sensei, seorang yang aku kagumi sejak dari sekolah menengah. Hayao Miyazaki, seorang yang menubuhkan Studio Ghibli yang tidak pernah gagal menyampaikan mesej-mesej yang mendalam dari setiap karyanya. Kalau ada masa aku galakkan korang untuk download movie-movie Studio Ghibli, full collection.

Selaku seorang yang emosional dan sentimental, aku mengaku, hati ini adalah sesuatu yang sangat rapuh. Terkadang teguh sampai nak melompat-lompat, terkadang layu dan merasakan hidup atau diri sendiri tak berguna. Lebih teruk bila ianya memberi impak pada tingkah laku. Tergolek layu sepanjang hari? Biasa.

Malah pernah juga berhari-hari.

Hati terasa jerih, pedih, kosong. Agaknya kecewa dengan diri sendiri.

Biasa!

Perjalanan di kolej tidak mudah. Bukanlah aku berkata bahawa segala mehnah, dugaan dan bala jatuh menimpaku seorang, bahkan jauh sekali. Terkadang akan tiba suatu fasa dalam hidup ini apabila kita terus menerus berjaya dan keyakinan memuncak, tiba suatu tahap kita akan merasakan keruntuhan ego dan ranap kondisi mental apabila realiti tidak seperti yang kita mimpikan. Kegelisahan itu - perlukah diceritakan lagi?

Ditambah sikap dan tingkahlaku yang memualkan - kita semakin muak dengan diri sendiri.

Tapi alangkah bodohnya seandainya terus-menerus kita berada di bawah. Bodohnya seandainya aku mempertikaikan kebolehanku untuk melepasi tahap yang ditetapkan MARA agar aku juga boleh melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bodohnya seandainya kita mempertikaikan rahmat Tuhan yang penyayang yang hakikatnya menciptakan perasaan kasih seorang ibu?

Bodohnya jika kita berputus asa.

Tidak ada jalan lain - melainkan kau bangun dari singgahsana kekecewaan
dan menghidup deria
melangkah
untuk mencari jalan
agar kau
bertemu ketenangan abadi
dari dasar lubuk hati.

Seketul daging bernama hati itu adalah yang bakal membaikkan hidupmu seluruhnya -
atau yang memusnahkan hidupmu seluruhnya.

___

"How many times have I swore "I'll change!"?
I always hesitate, get flustered and stumble but
that day we cried, we swore to be the last ones laughing
There's no way we can let it go to waste"

Tenchi Gaeshi - NICO Touches The Walls, Haikyuu!! ED #1