Aku tak pasti sejak bila aku mula meminati genre ini. Antara tingkatan 3 ke tingkatan 4, dan bacaan pertama aku yang bergenrekan sukan pada waktu itu ialah Eyeshield 21, dan aku membacanya hasil hasutan rakanku ketika itu.
...dan aku akhirnya menghabiskan masa untuk membaca keseluruhan manga dengan perasaan berdebar-debar dan excited.
Bukan niatku di sini hendak mengulas panjang tentang cerita pemain-pemain American Football ini (yang boleh anda baca di mana-mana laman web manga online), tetapi bagi aku rata-rata plot manga bergenrekan sports adalah klise.
Kuroko no Basuke, Haikyuu!!, Area no Kishi dan Yowamushi Pedal adalah antara beberapa yang telah/sedang aku ikuti. Dari bola keranjang, bola tampar, bola sepak serta lumba basikal, kebanyakan plot mereka hampir sama.
Protagonis tak berguna, seseorang menemui bakat sang protagonis, sang protagonis tampak menyerlah dengan memenangi beberapa perlawanan, protagonis kalah dengan sang antagonis yang mempunyai pasukan yang kuat, protagonis bangkit kembali dengan berlatih bersungguh-sungguh sehingga akhirnya dia berjaya memenangi tempat pertama dalam pertandingan yang disertainya. Di samping itu juga protagonis kebiasaannya berjaya merubah sikap sesetengah antagonis yang angkuh.
Klise bukan? ...dan begitu berkait sekali dengan kehidupan kita seharian.
Setiap daripada kita mempunyai potensi masing-masing. Sesetengah kita seringkali menganggap diri sendiri adalah seorang loser. Contohnya Onoda dalam Yowamushi Pedal, dia menganggap dirinya tidak berguna dan tidak mengetahui tentang hakikatnya handal berbasikal melainkan setelah Imaizumi menyedari kehebatannya itu.
Meskipun watak utama selalunya sedikit berkeyakinan dengan beberapa kejayaan awalnya, namun kehidupan tidak sering berlaku seperti apa yang kita mahukan.
Dalam hidup ini, bayangkan apabila anda sering mendapat nombor 1 semenjak darjah satu hingga tingkatan 3, dan akhirnya anda mengetahui bahawa tidak pernah sekalipun anda mendapat hatta A- dalam Matematik Tambahan sepanjang tingkatan 4 dan tingkatan 5. Memalukan.
Ataupun setelah anda mendapat straight A dalam SPM, akhirnya setelah anda memasuki program International Baccalaureate, keputusan anda jatuh menjunam berbanding rakan-rakan lain.
Ranap. Ranap habis segala ego.
"Oh Tuhan, aku tidak sanggup lagi."
Tiba suatu tahap kita mula mempersoalkan impian-impian kita. Apakah benar-benar aku mahu? Apa aku layak? Sanggupkah mengorbankan diri?
"Seandainya aku memperlihatkan kepadamu kebolehanku untuk terbang, aku tertanya-tanya adakah mampu untukku meneruskannya?"
Sanggupkah aku meneruskan kepayahan ini?
...demikian lirik Eyeshield 21 OP #2.
Nah, pilih.
Tapi seperti kata Midorima Shintarou, seorang pemain bola keranjang dari pasukan Shutoku,
"Tidak ada yang memalukan seandainya jatuh. Apa yang memalukan ialah tidak bangkit kembali."
Midorima yang terkenal kerana perwatakannya yang angkuh tetap tidak pernah terlintas untuk berputus asa ketika melawan Rakuzan yang terkenal sebagai johan kebangsaan Inter-High di Jepun ketika itu.
Dengan bangkit, apakah bangkit itu sekadar bermain di mulut sahaja, ataupun segenap kudrat yang ada pada badan kita bergerak dalam merealisasikan hal itu?
___
Kami bersamamu Indonesia.
Pray for QZ8501.



No comments:
Post a Comment