Ingatkah kalian kisah botol air nan separuh?
Ya, bekalan air untuk 2 jam naik turun ke puncak Irau dari Anak Irau. Dikongsi berdua.
Satu perkara yang aku dapat, kerana keterdesakan dan keinginan untuk terus hidup, aku terpaksa menahan nafsu aku daripada meneguk air mineral sedikit itu dengan rakus.
Sedikit demi sedikit.
Dalam hidup ini, kata orang, lebih baik ibadah yang berterusan nan sedikit, daripada ibadah yang banyak tapi tidak konsisten. Begitu juga hidup.
Keupayaan untuk melawan nafsu itu hanya timbul apabila kita dalam keadaan terdesak. Jadi mengapa tidak kita merasa terdesak apabila sesungguhnya setiap detik Tuhan memerhatikan kita?
Mungkin aku tidak sepatutnya menjangkakan yang tinggi-tinggi terhadap sikap manusia. Manusia kan mengecewakan. Tuhan saja tidak.
Pulang ke Anak Irau, aku mengalami kekejangan apabila duduk. Hari beranjak malam. Teringat perbualan dengan abang-abang hikers tadi petang.
"Kau orang tidur sini malam ni? Bawak sleeping bag tak?"
"Tak."
"Tawakkal betul la ni eh? Haha. Good luck."
Sesungguhnya kami telah memandang rendah cuaca gunung. Sesungguhnya suhu di Anak Irau pada waktu malam boleh menjangkau 10 darjah selsius. Sesungguhnya aku telah menggigil kesejukan. Dan kami juga mendengar bunyi angin yang mengilukan yang membingit ditambah lagi bunyi-bunyian derapan aneh sepanjang malam di belakang khemah kami yang kosong.
Cilakak. Jangan kacau aku la hantu.
Dan mulut mula terkumat kamit membaca apa jua zikir yang diingat.
Setiap sejam jarak masa aku akan terjaga, tidak tahan dengan suhu. Kejadah sungguh tak bawak selimut. Menunggu jam 5 pagi adalah saat-saat menggetirkan bagi kami. Bunsen burner dinyalakan untuk menghangatkan diri.
Dan pagi itu..
Aku melihat matahari terbit dari ufuk timur. Apa lagi yang mampu aku tutur selain maha suci Allah?
Turun dari gunung, kaki aku kekejangan dua kali ganda daripada semalam. Ditambah lagi tanggungan yang perlu kami bawa turun iaitu Bunsen burner, khemah dan berbotol-botol botol bekalan kami.
Aku sedikit kecewa dengan sikap sesetengah manusia yang membuang sampah di merata-rata kawasan gunung dan juga tempat-tempat awam yang lain. Aku sangka pemikiran kita terlalu maju untuk itu. Tapi yang berlaku membuktikan pembangunan ketamadunan kita masih tidak seimbang.
Mungkin mereka sakit perut dan terdesak untuk turun cepat sehingga terlupa botol air kosong yang tertinggal.
Mungkin.
Syukur, pendakian kedua aku berjalan lancar. Aku harap aku tidak akan pernah bosan dengan ini.
Kerana ini adalah salah satu fasa pencarianku. Aku sedang mencari. Mencari erti diri. Kata kawan aku, sesiapa yang mengenal dirinya maka dia mengenal Tuhan. Aku tidak pula pasti apakah ianya hadis ataupun kata-kata pujangga.
Dan aku ingin sekali mengenal Tuhan.
Enam bulan berlalu, aku kian menjejak ke semester akhir.
Dan masih - meski aku hina dina dan seringkali menzalimi diri, aku masih belum mahu berhenti mencari Engkau wahai Allah.
Izinkan aku untuk terus berjuang.
KABUS
Dinginnya menggerunkan
Hadapanmu itu apa?
Kaburnya menakutkan
Hadapanmu itu apa?
Nafas ditarik sedalam sukma
Lapang, lapanglah duhai jiwa
Biar sejuk mengasak dadamu
Biar bayu menampar jasadmu
Kau berpegang pada ketidakpastian
Menapak maju, bukan bodoh
Kau pasakkan setinggi kesaksian
Menapak maju, yakin Tuhan
Nafas ditarik sedalam sukma
Lapang, lapanglah duhai jiwa
___
"Kalau sini pun dah cantik macam ni aku tak tahu syurga macam mana."
-Umar Ghazi, Pasport Ekspres
-Umar Ghazi, Pasport Ekspres
No comments:
Post a Comment