Wednesday, December 24, 2014

Mampuslah Sapa Nak Angkat?! I

Beberapa bulan lepas aku pergi panjat gunung.
Ya, gunung.
Tak heran kan?

Gara-gara kawan lama aku yang nak pergi ke tempat sama yang pernah didaki Rewan Ishak, maka aku pun mula merancang perjalanan yang disertai tiga lagi teman aku (peliknya kawan lama yang mencadangkan tu tak ikut pun).

Gunung Irau ialah pengalaman hiking kedua aku setelah Bukit Besar, Kuala Terengganu. Sedih sedikit di situ.

Pendeknya, perjalanan dirancang pada saat akhir, dan banyak masalah berlaku. Kata orang, kalau nak kenal kawan-kawan, lihatlah apabila kita mengembara dengannya. Aku syukur kerana Tuhan anugerahkan aku kawan-kawan yang bertimbang rasa dan sanggup menempuh kecacatan perjalanan bersama-sama.

Malam itu kami bermalam di Tapak Perkhemahan Sungai Pauh yang hanya perlu dibayar RM3. Murah kalau hendak dibandingkan hotel-hotel di Tanah Rata mahupun Brinchang.

Bayangkan perasaan kami yang merasa sakai apabila melihat hiker-hiker lain dari UiTM dan sebagainya yang datang penuh persediaan, naik 4WD bersama renjer, berkereta sendiri dan sebagainya. Kami ke kaki gunung dengan menaiki teksi.

Kami bertanya seorang ak cik renjer berbaju 'Strawberry Park' mengenai gunung itu, dan nyata beliau terkejut mendapati kami naik tanpa pemandu arah. Lagi-lagi di hadapannya berdiri empat budak hingusan.


Perjalanan Irau mencabar kerana tanahnya yang berlumpur. Sangat berlumpur dan kami perlu memijak akar-akar kayu agar kaki tidak terbenam. Jakun, kerap kali aku menghembuskan nafas sekuat hati supaya asap sejuk keluar dari hidung. Lagaknya naga. Kawan-kawanku tampak jengkel dengan perlakuanku.


Tiba di Anak Irau, dua sahabatku berhenti, dan kami bertemu beberapa abang hikers yang sedang berehat sebelum meneruskan perjalanan turun dari gunung. Mereka memulakan perbualan sehingga tiba topik ini.

"Tak naik Irau ke? Cantik woo. Orang kata baik tak yah naik kalau tak naik puncak betul-betul,"

Ah..

"Macam LOTR, nanti boleh masuk macam gua gitu"

Cilakak.

Abang-abang itu terus menggoda dengan kata-kata yang manis. Setelah mereka turun kami terus mendirikan khemah di kawasan Anak Irau.

Aku yang tidak tahan godaan - meminta jasa dan kebaikan seorang temanku untuk meneruskan perjalanan ke puncak Irau. Kami berdua. Air separuh botol.

Dengan bertawakkal pada Tuhan, kami meneruskan perjalanan. Dan kaki aku cramp banyak kali.

Mengingatkan fizikal aku yang kerdil lagi tak cukup stamina, aku risau aku pengsan di tengah hutan. Tapi - mampuslah sapa nak angkat?! Hari dah cukup petang. Dalam keadaan terdesak tu, ketika mana aku tiada pilihan lain selain terus bertawakkal pada Allah, membuka mataku luas-luas dan menyimpan sebanyak mana tenaga yang boleh. 

Di situ aku mengerti erti keterdesakan yang membuatkan manusia berusaha sehabis daya hanya untuk survive. Tiada masa untuk menyerah kerana kami perlu sampai ke Anak Irau sebelum Maghrib tiba. Tiada masa. Tiada bantuan.

Kecuali Allah. Allah yang selalu diseru ketika kepayahan. Allah yang selalu dilupa ketika senang.

"Dah nak sampai!" ulang kawanku yang berstamina tinggi seorang ni.

Tapi tak juga sampai-sampai. Rasa hendak ditampar tapi tak sampai hati dan aku pun terlalu penat untuk itu.

"Mana?!"

Diam.

"Dah sampai!"

Allah. Puncak tertinggi Cameron Highlands. 2110 meter atas paras laut. 


Aku hirup sedalam-dalam udara di situ sebelum memasuki Semester 3 di kolej. Semester paling neraka.

___

Doa dari jauh ku kirimkan pada para saudara yang ditimpa bencana banjir di seluruh Malaysia.

"And it was said, "O earth, swallow your water, and O sky, withhold (your rain)." [Hud:44] 

No comments:

Post a Comment